Mungkin ada yang tertanya apa itu 'penjenamaan diri mukmin' dan mengapa isu ini ditimbulkan di sini?
Sebagai perbandingan, dalam mempromosikan sesuatu produk, penjenamaan penting dalam membentuk identiti tersendiri yang menyebabkan ianya menonjol dari yang lain dan turut menambah nilai produk itu. Sebagai contoh, jenama 'nike' dengan slogan ' just do it', ia menjadikan jenama ini unik daripada lambakan produk yang sepertinya dan slogan yang dibentuk berdasarkan visi dan misi yang jelas menjadikan suatu tarikan untuk umum memilikinya kerana ianya dilihat ber'status'. Jenama juga mencorak reputasi, imej, inspirasi dan pengaruh terhadap keyakinan terhadap kualiti produk itu.
penjenamaan tida terhad kepada produk sahaja malahan individu juga perlu mencipta jenama tersendiri. Melihatkan ramainya belia muslim kini umpama buih di pantai namun sukar untuk di 'ekstrak' daripadanya mukmin yang terlihat ketokohannya dari segi sifat mukmin dan tahap profesional yang boleh dikagumi, maka isu penjenamaan semula harus difikirkan secara serius oleh belia yang beragenda dalam hidup dan dilaksanakan agar imej Islam tidak lagi dihitamkan oleh umatnya.
Penjenamaan yang diseru disini adalah penjenamaan sebagai mukmin yang hebat yang bukan saja boleh mendepani gejala sosial, isu akhlak dan tauhid malahan isu fardhu kifayah seperti ekonomi, perubatan, perundangan dan sebagainya.
Penjenamaan ini tidak cukup hanya untuk kepuasan individu tetapi ianya diharapkan dapat menyebarkan pengaruh dan kepercayaan masyarakat dalam memartabatkan Islam. Pemilihan identiti mukmin yang hebat adalah yang terbaik kerana Islam adalah ‘pasangan hidup’ yang terbaik untuk seorang manusia. Apabila kita menyebut sahaja nama seseorang belia muslim itu diharap akan tergambar identiti yang unggul, berakhlak, berkeyakinan yang tinggi terhadap Allah dan agamanya serta memiliki kualiti peribadi yang menaikkan taraf hidupnya di dunia ini.
Penjenamaan turut membantu agar belia tidak tersasar atau hanyut daripada tujuan sebenar hidup yang diperjuangkannya sebagai contoh apabila kita menyebut tokoh As Syahid Hassan Al Banna kita secara automatic akan dapat menggambarkan apa yang diperjuangkan, kualiti dan kehebatan beliau sehingga menyebabkan beliau dihormati dan kata-katanya didengari. Apabila diteliti satu faktor utama kejayaan beliau adalah kejelasan pegangan aqidah dan tauhid beliau dalam setiap perjuangan iaitu lillahitaala.
Belia hari ini perlu bersungguh dalam menambah ‘nilai diri’ dan perlu berfikir secara serius akan matlamat akhir kehidupan yang dikejar kerana fasa belia adalah satu fasa yang sangat penting yang menentukan hala tuju individu itu sendiri serta keluarga dan orang yang dipimpinnya terutama dalam cabaran mehnah dunia zaman ini. Belia adalah waktu paling sesuai untuk melakukan perubahan dan jakan paradigma yang menyeluruh demi memartabatkan individu muslim serta akhirnya mengharumkan imej Islam yang telah dicemari oleh umatnya.
Akhir bicara tanya diri anda sendiri siapa anda dan dimana anda sekarang? kemana halatuju anda sebagai belia muslim? ini persoalan penting yang harus terjawab sebelum anda menjenamakan diri anda wahai belia.
Bangkitlah wahai belia demi masa depan dirimu dan agamamu!
No comments:
Post a Comment